APMM Kelantan manfaat al-Quran sumbangan WUIF
PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan akan memanfaatkan sebaik mungkin tafsir al-Quran sumbangan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang diterimanya hari ini.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, naskah itu akan turut ditempatkan di dalam kapal milik agensi berkenaan untuk dimanfaatkan oleh anggota ketika bertugas di laut biru.
"Setiap operasi mengambil masa yang agak lama dan masa rehat boleh digunakan untuk membaca al-Quran sambil meneliti tafsir kitab suci itu," katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyampaian Tafsir al-Quran dari Syarikat Kumpulan Media Karangkaf di sini hari ini.
Penyampaian al-Quran itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Dalam pada itu, Muhd Nur Syam Asmawie berkata, APMM Kelantan berterima kasih kepada pihak WUIF kerana memilih agensi itu untuk menjadi salah satu penerima al-Quran terbabit.
Katanya, sumbangan itu merupakan hadiah yang cukup bermakna buat semua anggota dan pegawai APMM yang sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran di lautan.
Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, sumbangan itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi budaya membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Katanya, langkah itu bertepatan dengan usaha yang digerakkan oleh WUIF menerusi 'Malaysian Quran Time'.
"Budaya ini perlu terus disemarakkan agar kita dapat menggali seberapa banyak ilmu dan kebaikan yang terkandung dalam al-Quran untuk dijadikan sebagai panduan hidup," katanya.
Muhammad Nasir berkata, sebanyak 560 naskah infak al-Quran telah diagihkan kepada 14 agensi kerajaan di jajahan ini.
Selain APMM Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali dan banyak lagi turut menerima sumbangan al-Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!