Ditahan di bawah POCA, ahli perniagaan fail habeas corpus
KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan yang direman selama 21 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan sindiket perjudian dalam talian haram, memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta.
Goh Leong Yeong, 32, memfailkan permohonan itu melalui notis usul di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 November lepas menerusi Tetuan T Y Teh & Partners dengan menamakan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.
Dalam permohonan itu, Leong Yeong yang turut dikenali sebagai Alvin memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lepas di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA pada 31 Oktober adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mala fide (berniat jahat).
Lelaki itu juga memohon perintah bahawa perintah tahanan reman bertarikh 31 Oktober lepas oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan penahanannya selama 21 hari mulai 31 Oktober sehingga 21 November di bawah POCA adalah tidak sah.
Turut dimohon perintah bahawa kemasukan perenggan 5, Bahagian 1, Jadual 1 di bawah POCA, bahawa semua orang yang terlibat dalam pengelolaan dan penggalakkan judi haram sebagai kategori yang boleh didaftarkan, adalah ultra vires dan di luar ruang lingkup atau skop akta berkenaan.
Beliau juga memohon perintah bahawa writ habeas corpus dikeluarkan bagi pemohon dibawa dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibebaskan dengan serta-merta selain memohon perintah supaya beliau tidak boleh ditangkap atau ditahan semula.
Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini, mahkamah menetapkan 16 November untuk mendengar permohonan tersebut.
Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Leong Yeong memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memohon tarikh pendengaran ditetapkan.
"Anak guam saya memfailkan permohonan habeas corpus berhubung penahanannya yang tidak sah. Untuk makluman mahkamah, peguam utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak dapat hadir pada hari ini. Pihak kami juga telah menyerahkan afidavit (bagi menyokong permohonan) kepada responden minggu lepas," katanya.
Peguam Persekutuan Adilah Roslan yang mewakili kesemua responden berkata, pihaknya perlu memfailkan balasan terhadap afidavit berkenaan.
Mahkamah juga memerintahkan kesemua responden memfailkan balasan terhadap afidavit pada atau sebelum 16 November.
Pada 2 November lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana,’ Korporal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Korporal Mohd Hairy Mohammad, kesemuanya berusia lingkungan 34 hingga 39 tahun, untuk writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya mereka dibebaskan segera. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Alvin Macau Scam akhirnya kena cekupMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!