NADMA sediakan SOP lengkap pengurusan banjir
KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana lengkap sebagai persediaan menghadapi banjir, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ini termasuk ketika proses pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ketika berada di dalam PPS dan juga selepas banjir selesai seperti gotong-royong mencuci dan sebagainya.
"Sidang Khas MKN sebelum ini mendengar pembentangan oleh NADMA berhubung SOP Pengurusan Bencana Semasa Pandemik Covid-19 termasuk SOP pengurusan banjir bagi menghadapi musim tengkujuh di negeri-negeri khususnya di Pantai Timur.
"SOP mungkin berbeza dari biasa. Kalau yang biasa, di PPS selalunya tempat agak sempit, tiada penjarakan sosial dan kemudahan asas berkurangan tetapi kali ini kita akan perbanyakkan tempat perpindahan dan memastikan semua SOP Covid-19 dipatuhi," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini ini, Ismail Sabri berkata, PPS mungkin terpaksa dibuka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekiranya tidak dapat dielakkan.
"PPS perlu dilengkapi Kod QR MySejahtera dan setiap petugas serta mangsa banjir yang terlibat perlu menggunakan aplikasi tersebut, selain PPS juga perlu disinfeksi sebelum menerima mangsa banjir.
"PPS perlu menyediakan peralatan mencukupi termasuk pelitup muka, pensanitasi tangan, penyukat suhu dan pakaian perlindungan peribadi (PPE), malah semua kawasan tertutup di PPS perlu dibiarkan terbuka bagi membolehkan peredaran udara yang mencukupi untuk mengeluarkan partikel tercemar," katanya.
Ismail Sabri berkata, setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS perlu disaring dan kemudian ditempatkan di pusat tersebut dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal serta dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada setiap masa.
Katanya, mereka yang bergejala pula akan dirujuk ke klinik kesihatan dan jika negatif, mereka diasingkan di ruang pengasingan khas dan tempoh pengasingan mangsa bergejala itu tertakluk kepada KKM.
Mengenai penyediaan makanan, beliau berkata ia tidak lagi dijalankan secara gotong-royong sebaliknya makanan dibungkus.
Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada mangsa banjir, namun mereka dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Pengurusan Bencana Daerah bagi tujuan penyelarasan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 717 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam dengan 63 daripadanya kerana rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran meskipun aktiviti itu tidak dibenarkan.
Katanya, kesalahan lain adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (205), tidak memakai pelitup muka (118), premis beroperasi lebih masa (110), aktiviti pusat hiburan (103), premis gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (73), membawa penumpang berlebihan (37) dan lain-lain (lapan).
Menurut beliau, sebanyak 704 individu telah dikompaun, 11 direman manakala dua dijamin.
Mengenai pendatang asing tanpa izin, beliau berkata dari 1 Januari hingga 5 November, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menghantar pulang seramai 31,282 orang pendatang ke negara masing-masing. Katanya, jumlah tertinggi adalah warganegara Indonesia seramai 14,072 orang; diikuti Bangladesh (4,551); Myanmar (2,898); Thailand (2,200); India (2,189); China (1,856); Pakistan (1,230); Vietnam (647); Nepal (397); Filipina (298); dan lain-lain (944).
"Pengusiran masih dilakukan oleh Jabatan Imigresen," katanya, sambil meminta orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan pendatang asing tanpa izin dan jenayah rentas sempadan dengan menghubungi National Task Force di talian 011 6251 1223. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!