Pindaan RUU LUAS tangani pencemaran sungai: MB Selangor
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor yakin pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) beserta langkah-langkah tambahan akan dapat menangani masalah pencemaran sungai yang menyebabkan gangguan bekalan air pada masa hadapan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pindaan itu merupakan manifestasi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berniat untuk melakukan pencemaran di Selangor.
"Alhamdulillah, hari ini telah disempurnakan pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Dewan Negeri Selangor dan kini telah pun menjadi sebahagian daripada rang undang-undang.
"Pindaan dengan kelulusan sebanyak 11 fasal ini antara lain menaikkan jumlah denda minimum kepada RM200,000 dan menetapkan jumlah denda maksimum tidak melebihi RM1 juta beserta hukuman penjara mandatori sebagai faktor pencegah (deterrent factor)," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Dewan Negeri Selangor turut meluluskan bahawa semua perbelanjaan yang dilakukan untuk membersihkan atau memulihkan apa-apa pencemaran oleh LUAS akan ditanggung oleh pihak pesalah.
"Sebagai satu langkah kawalan ke atas penggunaan sumber air bagi mengelak pembaziran penggunaan sumber air, Seksyen 44 Luas turut dipinda bertujuan untuk menambah kuasa LUAS bagi mengenakan caj terhadap lebihan pengambilan air melebihi had dibenarkan," katanya.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-undang Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan 2020), hari ini.
Pindaan itu diluluskan selepas mendapat sokongan daripada majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!