'BN menang PRK Cameron Highlands kerana gabungan Umno-Pas'
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands baru-baru ini kerana hasil gabungan Umno-Pas.
Pengerusi Bersatu itu berkata, walaupun PH kalah dalam PRK itu, namun undi kepada mereka meningkat, sebaliknya undi terhadap BN berkurangan.
"Sebab BN menang kita percaya kerana ada gabungan antara 'parti islam' Pas dengan 'parti kafir' Umno.
Dulu Pas kata Umno kafir tapi la ni mereka dah bekerjasama maka dapatlah mereka skor kemenangan bagi calon mereka," katanya.
Beliau secara sinis berkata, kedua-dua parti itu boleh mencapai kejayaan di 'dunia' dengan bekerjasama.
Pengerusi PH itu bagaimanapun percaya, mereka akan memperoleh majoriti dalam PRK Semenyih bulan depan.
"Kita percaya kita boleh menang. Melainkan kalau ada sesuatu yang luar biasa yang dilakukan Umno dan Pas," ujarnya.
Tambahnya, BN kini sudah tidak wujud sebaliknya yang ada hari ini cuma Umno sahaja dan parti itu juga hanya tinggal separuh.
"Namun demikian kita tahu kerjasama mereka dan kalau kita ambil kira campuran antara Umno dgn pas, kemenangan PH pada PRU14 bukanlah 8,000 tapi 1,000 sahaja.
Kita sedar walaupun kemenangan kita tipis, kita sudah atur cara atasinya," katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan pemberita bagaimana mereka yakin mendapat kemenangan di Semenyih dalam keadaan 60 peratus pengundi Melayu urban yang terdedah dengan dengan pelbagai isu semasa berbanding di Cameron Highland.
Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun yakin, parti campuran itu mampu peroleh majoriti dari kaum Melayu dan kaum lain.
"Kemenangan kita dulu sebab rakyat kecewa dengan pentadbiran lama. Tapi sekarang tumpuan mereka bukan lagi pada kesalahan yang lama tetapi menumpukan tentang kejayaan PH.
Sejak kita ambil alih sehingga kini kita sudah berjaya lakukan banyak kejayaan dan ini kita akan jelaskan pada mereka," katanya.
Bukan sahaja apa yg sudah kita lakukan dan apa yg akan kami lakukan," katanya.
Sementara itu beliau turut mengumumkan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Pengerusi Pilihan Raya PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!