Kepentingan jaga tepi kain orang lain
DALAM budaya orang Melayu, perbuatan menjaga tepi kain orang lain adalah satu perbuatan yang tidak begitu disukai dan dibenci.
Kiasan itu membawa maksud seseorang yang sangat suka mengambil tahu hal orang lain dan menjaja perihal kehidupan mereka.
Memang sepatutnya kita menolak perbuatan sedemikian terutama dalam hal melibatkan kehidupan seseorang malah agama Islam juga melarang umatnya melakukan perkara tersebut.
Bagaimanapun, sebagai jiran yang bertanggungjawab kita seharusnya mengambil tahu tentang kehidupan insan di sekeliling kita yang berhadapan dengan kesusahan.
Kita tidak boleh berkompromi jika ada dalam kalangan kita menjadi mangsa penderaan dalam rumah tangga.
Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan mereka menerima sebanyak 1,929 aduan berhubung kes keganasan rumah tangga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Daripada keseluruhan aduan itu, Selangor dan Johor menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan kes masing-masing sebanyak 375 dan 264 aduan.
Aduan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 itu membabitkan kes keganasan fizikal, emosi dan seksual.
Atas sebab itulah, perbuatan menjaga tepi kain orang lain ini juga penting dalam masyarakat demi memastikan tiada insan di sekitar lingkungan kehidupan kita menjadi mangsa perbuatan jenayah yang tidak berperikemanusian.
Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat untuk memberikan perlindungan kepada mangsa dalam Belanjawan 2021.
Semasa pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lepas menyaksikan kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM21 juta bagi menyediakan pusat sokongan sosial setempat sebagai usaha menangani isu keganasan rumah tangga.
Pusat yang akan dikendali dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan itu menyediakan perlindungan sosial serta sokongan moral kepada golongan wanita bagi mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!