Covid-19: Sebuah restoran di Plaza Batai ditutup
SHAH ALAM - Sebuah restoran di Plaza Batai, Bukit Damansara, ditutup dipercayai selepas satu kes Covid-19 dikesan.
Ekkamai Thai Kitchen dalam hantaran Facebooknya berkata, semua kakitangan restoran berkenaan akan menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantinkan.
Sehubungan itu, pihak restoran menasihati pengunjung restoran yang hadir dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lalu mempertimbangkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan memantau tahap kesihatan masing-masing.
"Premis kami akan melalui sanitasi sepenuhnya dan hanya akan dibuka semula setelah kami dapat mengesahkan semuanya berjalan lancar," kata kenyataan berkenaan.
Semalam, Lembah Klang mencatatkan 165 kes positif baharu Covid-19 dengan 138 kes dikesan di Selangor, 22 di Kuala Lumpur dan lima di Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!