Langgar SOP PKPB: ADUN Ketari sedia disiasat
KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman sedia disiasat pihak berkuasa berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa menyambut ulang tahun kelahiran di tepi pantai sebuah resort di Sepang.
Syefura atau dikenali sebagai Rara telah memohon maaf dan bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakannya melanggar SOP.
"Saya memohon maaf jika tindakan saya melanggar SOP Covid-19. Saya tidak menggunakan sebarang kelebihan sebagai wakil rakyat untuk bergerak di Selangor, negeri saya bermastautin.
"Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakan saya melanggar SOP Covid-19,” katanya melalui akaun laman sosialnya semalam.
Terdahulu, Syefura telah menyiarkan gambar sambutan ulang tahun kelahiran di akaun Instagramnya sebelum gambar itu dipadamkan.
Gambar itu dilaporkan menunjukkan Syefura bersama empat orang tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima laporan polis berhubung isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!