Warga emas rugi ditipu 'ejen' syarikat penapis air
KUANTAN - Seorang warga emas kerugian sebanyak RM2,700 akibat ditipu lelaki yang menyamar sebagai ejen syarikat pembekal penapis air yang datang ke rumahnya di Bentong pada 7 November lalu.
Lelaki berusia 75 tahun itu mendakwa 'ejen syarikat' berkenaan datang untuk membuat kutipan bayaran penapis air yang dibeli sejak 2018 secara ansuran dengan bayaran RM100 sebulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek meminta mangsa menjelaskan bayaran penuh tunggakan untuk tempoh Januari 2018 hingga November 2020 berjumlah RM4,000.
Menurutnya, mangsa tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bayaran itu sebaliknya hanya mampu membayar sebanyak RM2,000.
"Setelah berbincang, suspek bersetuju menerima bayaran itu dan bakinya perlu dijelaskan kemudian.
"Pada masa sama, suspek turut membuat pemeriksaan terhadap alat penapis air mangsa sebelum memaklumkan penapisnya perlu ditukar dan kos menukarnya RM700," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa membayar berjumlah RM2,700 kepada lelaki itu untuk bayaran tunggakan dan kos mengganti penapis alat penapis air tersebut.
"Mangsa hanya menyedari ditipu pada hari berikutnya setelah dihubungi syarikat pembekal alat penapis itu memaklumkan berhubung tunggakan bayaran berjumlah RM1,988.
"Mangsa memaklumkan dia telah membuat bayaran kepada suspek, namun diberitahu lelaki tersebut sudah tidak bekerja di syarikat berkenaan sejak Januari lalu," katanya.
Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bentong, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan suspek terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!