MKN diminta tingkatkan kapasiti ujian Covid-19 kepada 5,000 sehari
KUCHING - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini diberitahu bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diminta meningkatkan lagi kapasiti pelaksanaan ujian saringan koronavirus (Covid-19) di negeri ini kepada 5,000 orang sehari.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan yang sedia ada di Sarawak ketika ini hanya mampu menjalankan 2,400 ujian dalam sehari dan keadaan ini menyebabkan ada keputusan hanya dapat diketahui selepas tiga hari.
"Kalau kita dapat tingkatkan (kapasiti) kepada 5,000 (ujian) satu hari, masa menunggu kita dapat (pendekkan). Kita telah berikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kepada JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak) untuk mendapatkan keputusan dalam tempoh kurang dari 24 jam. Kalau boleh dalam 12 jam," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Dr Hazland Abang Hipni (GPS-Demak Laut) ketika sesi soal jawab.
Menurut Uggah, JPBN Sarawak juga telah meminta MKN untuk meningkatkan lagi kemampuan hospital-hospital daerah di Bau, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang untuk merawat pesakit Covid-19.
"Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina sebuah makmal molekul yang baharu di Hospital Limbang. (Dengan adanya makmal ini) kita dapat meningkatkan kapasiti ujian kepada 200 sehari. Kalau sudah siap, (sampel ujian) pesakit dari (daerah-daerah) Limbang dan Lawas tidak perlu lagi dibawa ke Miri," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!