Warga China maut, tiga parah
KUALA KANGSAR - Seorang warga China maut manakala tiga lagi cedera parah apabila kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar penghadang jalan dalam kemalangan di KM231.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, petang tadi.
Mangsa, Zhang Wenzhuo, 27, berasal dari China meninggal dunia di tempat kejadian setelah tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.
Manakala dua lagi penumpang dari China, Pan Qi Ngijang, 58 dan Pan Mingxiu, 87, yang berada di tempat duduk belakang dan pemandu warga tempatan, Lee Soon Heng, 31, mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pada jam lebih kurang 5.14 petang, pihaknya menerima maklumat kemalangan jalan raya melibatkan kereta jenis Toyota Vios terbabas sendiri ke kiri jalan di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menghala Pulau Pinang.
"Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai mangsa si pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sendiri ke kiri jalan.
"Kenderaan dinaiki empat mangsa itu kemudiannya melanggar penghadang jalan di bahu jalan sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang.
"Akibat kemalangan ini, seorang penumpang hadapan warga China tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada media di sini hari ini.
Razali berkata, tiga mangsa lain termasuk pemandu warga tempatan dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan terhadap mangsa maut di Hospital Kuala Kangsar pada keesokkan hari.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!