Kerani maut dihempap pokok getah
TAMPIN - Seorang kerani berusia 27 tahun maut selepas kenderaan yang dipandunya dihempap sebatang pokok getah di Kampung Keru ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Gemencheh di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian lebih kurang jam 9 pagi.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa, Nur Zalehan Balkish Abdul Majid memandu kereta jenis Perodua Kancil secara sendirian di jalan dalam Kampung Keru iaitu satu kilometer dari jalan utama.
"Bagaimanapun, sebaik mangsa tiba di lokasi sebatang pokok getah tiba-tiba tumbang menghempap kenderaannya. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan akibat tersepit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan usaha mengeluarkan mangsa dilakukan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Tampin.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, S Dullasi Nathan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.26 pagi dan tiba lapan minit kemudian.
"Kami mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!