'Jangan berarak dalam dan luar stadium'

Shahurinain
Shahurinain
A
A
A

SEBARANG bentuk himpunan dan perarakan dalam dan luar stadium adalah dilarang bagi memastikan tiada perkara diingini tercetus sepanjang perlawanan Piala Sumbangsih di Larkin, malam esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, berikut adalah antara penegasan dilakukan pihaknya seiring dengan garis panduan ditetapkan berhubung kawalan keselamatan stadium.

Katanya, polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada mana-mana pihak yang melanggar larangan seperti seperti membawa senjata tajam, bahan letupan, dan melakukan tingkah laku yang boleh menyebabkan provokasi.

“Sekiranya kita dapat tangkap mereka yang memiliki apa-apa jua barangan didefinisikan sebagai bahan letupan, kita akan ambil tindakan di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Akta Bahan Letupan 1957.

“Polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang perlakuan dan perbuatan yang tidak mematuhi undang- undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru, Shahurinain turut mengingatkan penyokong yang hadir untuk sentiasa menjaga tingkah laku, moral, budaya dan etika yang positif serta semangat kesukanan yang tinggi sebelum dan selepas perlawanan berlangsung.

"Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan-arahan yang diberikan petugas-petugas pasukan polis dari masa ke semasa agar keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebelum ini, pada Oktober 2017 semasa JDT menentang Perak di Stadium Perak, berlaku kekecohan hingga mengakibatkan seorang anggota polis dan seorang penyokong JDT cedera selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!