[VIDEO] 4 ditahan kes pelaburan wang kripto, judi online

Nik Ezanee (kanan) menunjukkan wang tunai yang dirampas di sebuah rumah di Ara Damansara semalam.
Nik Ezanee (kanan) menunjukkan wang tunai yang dirampas di sebuah rumah di Ara Damansara semalam.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri bersama seorang lelaki dan wanita warga asing yang disyaki terlibat dengan pelaburan mata wang kripto haram serta judi online diberkas secara berasingan di Ara Damansara dan Sunway, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pasangan suami isteri berusia 27 dan 33 tahun itu ditahan pada jam 1.15 petang di sebuah rumah teres di Ara Damansara.

"Hasil siasatan terhadap beberapa komputer mendapati wujudnya aktiviti pelaburan wang kripto yang tidak berdaftar dengan Bank Negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut merampas tujuh komputer riba dalam serbuan itu.

"Kita juga terpaksa meminta bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya untuk membuka peti besi di dalam stor rumah berkenaan.

"Kita merampas wang tunai RM1.4 juta di dalam peti besi berkenaan, kita turut merampas serangkai kunci dan kad akses sebuah kondominium di Sunway," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya memberkas seorang lelaki dan wanita berusia 30 dan 31 tahun di kondominium di Sunway pada jam 7.30 malam.

"Hasil pemeriksaan mendapati wujud aktiviti pelaburan dan judi dalam talian, kita juga merampas sembilan komputer riba," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek itu merupakan penyelia laman web dan perisian perjudian dalam talian.

"Kedua-dua suspek dibayar gaji sebanyak RM9,000 sebulan, tugas mereka adalah membina aplikasi judi online," katanya.

Nik Ezanee berkata, kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!