Tahanan reman IPD Segamat positif Covid-19
JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan seorang suspek kes bunuh yang sedang ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat positif koronavirus (Covid-19).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, suspek yang merupakan lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Covid-19 semalam.
Menurutnya, seramai 60 anggota dan pegawai IPD Segamat telah diarahkan menjalani ujian saringan Covid- 19 dan menjalani kuarantin di rumah.
"Kita tunggu keputusan ujian mereka petang ini, jika negatif mereka dibenarkan bertugas. Kalau positif, mereka perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin.
"IPD Segamat masih beroperasi dan lokap berkenaan telah disanitasi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, suspek itu merupakan antara lapan individu yang berusia antara 29 hingga 35 tahun yang direman berhubung kes bunuh lelaki warga Bangladesh yang maut dalam satu pergaduhan di tapak pembinaan Taman Kenari, Bukit Siput 3 November lalu.
Dalam kejadian pada jam 10.40 malam itu, mangsa berusia 44 tahun itu meninggal dunia akibat cedera parah dilanggar sebuah kereta Proton Gen 2 manakala dua rakan mangsa yang lain pula cedera parah akibat pergaduhan tersebut.
Ayob Khan berkata, pihaknya telah menghubungi Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berhubung perancangan susun atur kekuatan akan dilakukan jika berlaku sesuatu tidak diingini.
"Kita mempunyai perancangan sekiranya ada pegawai dan anggota IPD Segamat disahkan positif. Malah kita juga telah susun atur kekuatan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
"Jika tidak cukup anggota, kita akan gerakkan anggota daripada daerah berdekatan, namun setakat ini mereka masih mampu lagi dengan kekuatan anggota yang ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!