Poland terima pelarian, termasuk kalangan Muslim
KUALA LUMPUR - Realiti bahawa Poland akan terus menerima kehadiran pelarian dan juga migran termasuk dari kalangan Muslim, menjadikan sebarang tuduhan yang mendakwa ia sebagai negara yang hipokrit, tidak adil serta pada dasarnya anti-pelarian adalah tidak betul dan tidak wajar sama sekali, kata Duta Besar Poland ke Malaysia, Krzysztof Debnicki.
“Kumpulan yang tidak diterima hanyalah dari kalangan pendatang haram ekonomi yang tidak menghormati undang-undang imigresen negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada satu penulisan dari blog Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin, yang bertajuk “A Genocidal State” yang turut dilaporkan beberapa media tempatan, yang antara lain mengecam Israel serta kekejaman terhadap rakyat Palestin, yang turut menyebut bahawa Hungary, Poland dan Republik Czech turut mengharamkan pelarian.
“Merujuk kepada soal pelarian, saya perlu tekankan bahawa Poland menerima kehadiran lebih 80,000 Muslim yang melarikan diri dari perang di Chechnya, di samping beribu-ribu pelarian dari Ukraine Timur yang melarikan diri dari konflik semasa di sana,” katanya.
Menurutnya Poland percaya bantuan kepada mereka yang memerlukan adalah satu daripada tanggungjawab asas antarabangsa, dan ia juga menjadi sebab yang sama Palestin turut disenaraikan sebagai negara yang menjadi keutamaan dalam kerjasama pembangunan Poland.
“Kami teruskan usaha kami membantu rakyat Palestin, menyokong mereka dari segi kewangan, membekalkan makanan, pakaian dan membina kemudahan asas. Setiap tahun kosnya menjangkau lebih RM4 juta, ditanggung oleh pembayar cukai Poland,” katanya.
Kerajaan Poland dan pertubuhan-pertubuhan kemanusiaannya turut membantu pelarian Syria di Lubnan dan Jordan di mana sejak 2012, lebih 75,000 pelarian Syria memperoleh manfaat dari bantuan yang dibekalkan oleh Poland.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!