Najib bidas 'serangan' DAP
SHAH ALAM - Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa mana-mana pihak yang tidak bersama DAP, mereka akan dikecam, diburukkan dan difitnah habis-habisan.
Katanya, kini parti itu kuat menyerang Umno kerana kerjasama dengan Pas dalam PRK.
"DAP kata BN main api kerana bekerjasama dengan Pas. Dulu, mereka pakat berpelukan dengan Pas untuk merebut Putrajaya, tak pernah pun DAP adu mereka dijilat api. Sekarang mereka serang Pas hari-hari," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Selepas PRU14, BN dan Pas dilihat mula menjalinkan kerjasama selaku pembangkang dalam beberapa PRK bermula di Dun Seri Setia, Sungai Kandis, Balakong dan Cameron Highlands.
ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP
Formula kerjasama tersebut membuahkan hasil dalam PRK Cameron Highlands apabila calon BN, Ramli Mohd Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran 8,800 undi.
Susulan kemenangan tersebut, pelbagai reaksi dan dakwaan dilontarkan kepada kedua-dua parti itu, kononya memainkan isu kaum dan agama untuk menang.
Mengulas lanjut, Najib berkata, jika dahulu DAP menyerang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setiap hari, tetapi kini mereka berada dalam satu Kabinet.
"Nampak sangat bahawa perjuangan DAP hanya untuk rebut kuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!