'Ada pihak tidak senang dengan tindakan kerajaan negeri': MB Selangor

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui ada pihak tidak senang dengan tindakan-tindakan dilaksanakan kerajaan negeri dalam menangani isu air di negeri ini.

Amirudin berkata, pihaknya juga mengesyaki suspek yang terlibat dengan insiden pencemaran bau pada kali ini berkemungkinan sudah mengenalpasti trend pemantauan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Katanya, pencemaran bau pada kali ini berlaku di upstream Sungai Gong dan kegiatan itu berkemungkinan dilakukan di luar waktu kawalan pihak berkuasa.

"Saya faham pasti saya akan dipersalahkan, exco pasti dipersalahkan, tapi mereka (pihak terlibat) tidak senang apabila kita membuat tindakan tegas dan bersungguh-sungguh dalam memastikan permasalahan ini tidak berulang," katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Annex, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penutupan empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1, 2,3 dan Rantau Panjang susulan pencemaran bau hari ini.

Penutupan empat LRA berkenaan berlaku hanya dalam tempoh 24 jam selepas DUN Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Urus Air, semalam.

Mengulas lanjut mengenai RUU itu, Amirudin berkata, penasihat undang-undang (LA) akan menghantar notis ke istana selepas ini bagi mendapatkan tandatangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk membolehkan undang-undang itu dikuatkuasakan.

"Undang-undang itu hanya sah setelah Sultan Selangor menurunkan tandatangan atau pun sebulan dari tempoh RUU itu mendapat kelulusan di Sidang DUN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, buat masa ini, kerajaan negeri juga masih belum lagi menggunakan kemudahan dron bagi melakukan pemantauan di seluruh sungai-sungai sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2021, sebelum ini.

"Memang jangkaan kita penggunaan dron ini adalah pada November dan kita harap ia dipercepatkan.

"Kita mungkin akan melakukan sedikit perubahan dalam penggunaan dron ini berikutan bimbang pihak terlibat mungkin mengetahui jadual operasi kita," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 1.13 juta akaun pengguna terjejas bekalan air di KL, Selangor

Punca pencemaran bau disyaki tindakan sabotaj

Cadang kerajaan Selangor beri air percuma sebulan: Noh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!