Lelaki mengaku setiausaha politik menteri ditahan

Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pekerja kedai vape di Bukit Antarabangsa pada 3 November lalu.
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pekerja kedai vape di Bukit Antarabangsa pada 3 November lalu.
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki mengaku setiausaha politik kepada seorang menteri ditahan kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pekerja kedai vape di Bukit Antarabangsa pada 3 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada jam 11 malam semalam.

"Suspek telah direman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fadzil berkata, siasatan awal suspek telah mengaku bekerja sebagai setiausaha politik kepada seorang menteri, namun setelah semakan dibuat pihak Pejabat Menteri tersebut telah menafikannya.

Katanya, polis sedang mengesan beberapa lagi suspek lain bagi membantu siasatan dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa telah didatangi oleh tiga individu termasuk seorang wanita di kedai vape tempat mangsa bekerja.

"Salah seorang suspek telah menarik baju mangsa dan memberi amaran supaya tidak bercakap kasar sambil mengacukan sebilah gunting kepadanya," katanya.

Fadzil berkata, suspek juga memaksa mangsa untuk menunjukkan rumah majikannya.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa telah dibawa oleh suspek menaiki kereta dan telah menunjukkan rumah majikannya di Bukit Antarabangsa, sebelum dia ditinggalkan di tepi jalan," katanya.

Fadzil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!