Mari bina ekosistem ekonomi Islam

A
A
A

EKOSISTEM ekonomi ialah sebuah komuniti yang disokong oleh pelbagai organisasi dan individu. Komuniti ini menghasilkan produk dan perkhidmatan kepada para pelanggan yang mana mereka adalah ahli di dalam ekosistem itu.

Ekosistem ekonomi Islam pula adalah sebuah jemaah yang mengandungi pengeluar, pemborong, penjual dan juga pengguna.

Secara tamsilannya ia seperti aktiviti ekonomi di sebuah kampung di mana hasil tanaman petani sebagai pengeluar dibeli oleh pemborong dan kemudian diagihkan kepada penjual yang memasarkannya kepada orang-orang kampung sebagai pembeli.

Pada hari ini, ekosistem ekonomi Islam kita amat longgar, tidak sistematik kerana ia tidak diusahakan secara sengaja. Hanya sebahagian kecil yang punyai semangat ‘hendak tolong sama seagama atau sebangsa’.

Dalam ekosistem peruncitan misalnya, pengeluar Muslim seperti nelayan, petani dan penternak, menjual hasil mereka kepada sesiapa yang boleh memberi pulangan yang tinggi.

Begitu juga, pihak pemborong dan pengedar mengambil apa sahaja barangan yang laris di pasaran. Kita pula sebagai pengguna, membeli dari mana-mana dan daripada sesiapa yang kita suka.

Akibatnya, mereka yang punyai perniagaan besar dan hebat sahajalah yang sentiasa menguasai pasaran.

Melalui modal yang besar mereka mengaut segala hasil pengeluaran dengan harga yang lebih murah. Dengan prasarana pengangkutan, komunikasi, pengiklanan dan pemasaran, yang besar akan terus besar, sementara yang kecil tak akan besar-besar.

Artikel Berkaitan:

Inilah yang dikatakan sebagai situasi yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Padahal, yang miskin boleh juga membesar dan menjadi kaya jika semua pihak sepakat untuk membantu antara satu sama lain.

Namun pada hari ini, usaha secara kolektif dan sistematik boleh dikatakan tiada dilakukan. Namun, jika dilihat pada susunan ekosistem ekonomi kaum lain, hal ini amat dititikberatkan.

Dalam sektor peruncitan misalnya, kita akan dapati orang Cina tidak ramai ke pasar mini orang Melayu sedangkan orang Melayu membeli di mana-mana sahaja mereka mahu. Keadaan ini berlaku kerana generasi asal mereka berhijrah ke negara ini. Jadi, konsep tolong-menolong sesama mereka amat kukuh sebagai suatu budaya hingga kini.

Tidak salah untuk mendahulukan kaum sendiri. Kita sendiri perlu mengamalkannya dengan memperbanyak jumlah urus niaga kita dengan bangsa sendiri. Kita patut meniru apa yang baik dilakukan kaum lain untuk menegakkan ekosistem ekonomi kita.

Mengapa ini belum terjadi? Ini kerana kita belum memahami peri pentingnya menegakkan ekosistem ekonomi Islam. Lagi pula, tiada yang mentarbiahkan masyarakat mengenai hal ini. Kita ada ahli ekonomi tetapi mereka tiada kebolehan menyeru secara massa.

Para ustaz pun walaupun ada pengaruh, namun tiada yang mengkhususkan penyampaian ilmu ekonomi dan perdagangan Islam walhal berniaga itu adalah sunnah Rasulullah SAW. Orang politik yang punyai kehebatan komunikasi dan pengaruh pun sibuk dengan dunia mereka sendiri.

Tanpa ekosistem ekonomi Islam, kita akan terus tewas dalam percaturan perniagaan kerana kita berurus niaga dalam sistem, peraturan dan undang-undang orang lain.

Selagi aktiviti ekonomi diamalkan menurut sistem kapitalis yang mengutamakan siapa kuat, dia menang, selagi itulah kita terus ketinggalan kerana tak boleh mengangkat muka.

Kita kena bina ekosistem ekonomi Islam. Tapi siapa hendak gerakkan?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!