Tambah baik belanjawan demi rakyat
KURANG dua bulan lagi maka berakhirlah tahun 2020, tahun yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Disusuli pula dengan tahun 2021 yang bakal memberikan harapan dan peluang baharu kepada kita semua.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2021 yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah negara iaitu RM322.5 bilion. Bermula Isnin yang lepas ia mula dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk diluluskan atau ditolak.
Penulis yakin bahawa semua pihak sama ada kakitangan kerajaan, swasta mahupun rakyat jelata, masing-masing menunggu apakah manfaat yang mereka terima pada saat kehidupan sebahagian besar fabrik masyarakat terkesan dengan penularan Covid-1.9.
Selain Belanjawan 2021 itu sendiri, penulis berharap teman-teman semua dapat mengambil sedikit masa bagi mendalami unjuran ekonomi negara untuk tahun 2021.
Kementerian Kewangan mengunjurkan ekonomi negara akan memulih dan mencatatkan pertumbuhan antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus.
Keyakinan Kementerian Kewangan pada peningkatan pertumbuhan yang besar iaitu lebih 11 peratus dari -4.5 peratus pada tahun 2020 ini, harus diberi perhatian oleh semua khususnya rakyat dan pemain ekonomi negara.
Demi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi negara ini, adalah penting mesej yang jelas sentiasa disampaikan kepada rakyat agar tiada kekeliruan berlaku dalam tempoh pelaksanaan.
Pada masa yang sama, kerajaan diseru agar mendengar dan mengambil kira reaksi dan pandangan rakyat mengenai Belanjawan 2021 ini agar wujud satu titik tujuan dan destinasi yang diharapkan oleh semua pihak.
Oleh itu, penulis mengambil peluang ini untuk berkongsi lima pandangan utama yang sering disebut oleh rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat di dalam media sosial penulis iaitu pertama, tuntutan pengeluaran KWSP dengan maksimum RM10,000 secara tidak bersasar dan bersifat sukarela adalah merupakan tuntutan yang viable dan genuine.
Ini kerana mereka yang terkesan adalah tidak hanya kepada mereka yang diberhentikan kerja. Ada juga yang berkurang pendapatan disebabkan oleh pemotongan gaji dan juga yang telah diberhentikan beberapa ketika sebelum tibanya Covid-19 ini. Pengeluaran ini sebenarnya tidak menjejaskan peruntukkan Belanjawan 2021.
Moratorium
Kedua, berkenaan moratorium yang dituntut oleh semua pihak adalah moratorium secara blanket, pukal dan automatik. Tuntutan moratorium sehingga enam bulan tambahan adalah suatu tuntutan yang rasional di mana tuntutan ini akan memberi kelonggaran kepada rakyat yang tersepit.
Peluang tambahan selama tiga hingga enam bulan ini membolehkan rakyat menyusun atur kembali kewangan masing-masing dalam menghadapi situasi yang masih rumit.
Ketiga, fokus secara saksama kepada semua golongan termasuk juga mereka dalam kategori M40. Kita perlu ingat bahawa Covid-19 dan kemelesetan ekonomi adalah secara menyeluruh dan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Manfaat bajet mesti juga mengambil kira golongan ini.
Keempat, kebajikan mahasiswa seramai 1.3 juta orang meliputi pelajar di universiti awam dan swasta perlu diambil kira.
Pemuda UMNO bertegas mencadangkan agar e-wallet sebanyak RM50 diberikan setiap bulan selama tempoh 12 bulan bagi membolehkan sekurang-kurangnya menampung kos penggunaan internet bagi akses pembelajaran dalam talian.
Kelima, kerajaan perlu mengkaji semula peruntukan sebanyak RM85.5 juta bagi menghidupkan kembali Jasa pada masa yang tidak sesuai. Pihak kerajaan perlu pandai menimbang keutamaan pada ketika ini dan tidak mengambilnya sebagai peluang untuk meluluskan yang tidak sepatutnya.
Tuntas, penulis dan teman-teman di Pemuda UMNO berpendapat Belanjawan 2021 masih boleh dan berpeluang untuk ditambah baik oleh kerajaan.
Keadaan luar biasa perlukan langkah yang luar biasa juga. Oleh yang demikian, tambah baiklah Belanjawan 2021 ini berdasarkan pengharapan rakyat. Ciptalah sejarah di Dewan Rakyat kerana bencana Covid-19 ini sudah pasti adalah sebahagian daripada sejarah negara.
* Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!