PKPB di Sabah dilonggarkan

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri dilonggarkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bagi SOP PKPB Sabah yang dilanjutkan sehingga 6 Disember depan, beberapa kelonggaran syarat dan peraturan telah dibenarkan.

"Oleh itu, rakyat diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk mengekang penularan jangkitan virus koronavirus (Covid-19)," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Terdahulu, antara SOP yang dilonggarkan adalah membenarkan pelanggan makan di restoran termasuk di premis hotel, kedai atau gerai makan, kedai kopi, medan selera dengan separuh daripada kapasiti saiz meja serta operasi dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Turut dilanjutkan beroperasi sehingga jam 10 malam adalah pasar raya, pusat beli belah, kedai runcit dan stesen minyak dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Perkembangan Harian Covid-19 di Sabah.
Perkembangan Harian Covid-19 di Sabah.

Bagi perkhidmatan bas henti-henti turut dibenarkan dalam daerah dengan kapasiti 50 peratus serta mematuhi penjarakan fizikal dalam kenderaan dan pemakaian pelitup muka.

Perkhidmatan teksi dan e-hailing (maksimum dua orang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Artikel Berkaitan:

Untuk aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang seperti berjalan, joging, berbasikal, senamrobik, hiking, memancing, golf dan lain-lain dalam daerah adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP sektor sukan dan rekreasi.

Bagi operasi pasar malam, pasar tamu dan pasar tani hanya boleh dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kelulusan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah koronavirus (Covid-19).

Mengulas lanjut berhubung kes positif Covid-19 di Sabah hari ini, Masidi berkata, sebanyak 397 kes dilaporkan dan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 92 kes.

"Tawau mencatat 78 kes, Lahad Datu (42), Sandakan (32), Tuaran (31), Kudat (28), Keningau (26), Penampang (21), Putatan, Papar dan Kuala Penyu masing-masing catat 10 kes, Ranau (8), Kota Belud (6), Sipitang (2) dan Beluran (1)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!