Malaysia utamakan kepentingan dalam isu Laut China Selatan

Kepulauan Spratly yang berada di Laut China Selatan menjadi perebutan banyak negara.
Kepulauan Spratly yang berada di Laut China Selatan menjadi perebutan banyak negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus mengutamakan kepentingannya dalam isu berkaitan Laut China Selatan dan mahu perkara itu ditangani secara rasional serta konstruktif bersama semua pihak terlibat, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau turut menekankan komitmen Malaysia terhadap Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dan penyempurnaan Tatakelakuan Pihak-pihak di Laut China Selatan (COC) untuk menyelesaikan konflik yang melibatkan pertindihan tuntutan wilayah oleh beberapa negara.

"Penting untuk kita terus berbincang dan berunding mengenainya, sudah ada mekanisme, kita membicarakan Kod Tatalaku, mengenai DoC yang merupakan kaedah positif dan membina untuk mara, cara ASEAN bagi menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri siri mesyuarat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di sini hari ini.

Tambah beliau penting bagi ASEAN 'menyelesaikan dan menguruskan isu di peringkat dalaman terlebih dahulu' sebelum mengemudi isu Laut China Selatan.

“Jadi langkah pertama ialah berurusan dengan anggota dalam ASEAN dahulu. Kemudian, merujuk kepada AS di Laut China Selatan, kita perlu melihat terlebih dahulu apakah dasar pentadbiran (AS) yang baharu, selepas itu kita lihat pula pendiriannya, dengan kaitan kuasa besar lain di utara,” katanya.

Laluan di perairan Laut China Selatan menjadi tumpuan ketegangan antara AS dan China, menyaksikan kedua-dua negara terus bersaing untuk mengukuhkan pengaruh dan dominasi mereka.

Negara-negara ASEAN, iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam serta China dan Taiwan selaku bukan anggota pertubuhan serantau Asia Tenggara itu, bersaing untuk menuntut wilayah bertindih di Laut China Selatan.

Mengulas mengenai Joe Biden yang memenangi pilihan raya presiden AS 3 November lalu, Hishammuddin berkata, "Malaysia perlu memahami pentadbiran baharu itu secepat mungkin dan untuk terus terlibat dengan negara itu dalam pelbagai bidang hubungan dua hala".

Artikel Berkaitan:

"Penting untuk mencari bidang mana yang boleh disepakati dan apa yang kita tidak boleh bersetuju dan mereka juga harus tahu apa pendirian kita sama ada mengenai isu industri, isu ekonomi atau isu keselamatan dan perkara berkaitan pertimbangan geopolitik di Laut China Selatan, contohnya," katanya.

"Jadi ya, agak menarik kerana kita perlu melibatkan Amerika Syarikat (AS), dengan pentadbiran baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, ASEAN harus bekerja secara kolektif dan di luar kotak untuk mencari jalan keluar mendepani cabaran pandemik koronavirus (Covid-19).

Hishammuddin berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya dari ibu negara, bermula Khamis hingga Ahad.

Sidang kemuncak tahun ini bertemakan 'Cohesive and Responsive ASEAN', dipengerusikan Vietnam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!