Masa terbaik praktik latihan secara digital
MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menyeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengaplikasikan struktur latihan secara digital khususnya ke atas atlet yang terbabit dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2022 di Johor.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kaedah itu dilihat lebih efektif di kala negara dan dunia sedang menghadapi krisis pandemik koronavirus (Covid-19) sekarang.
Katanya, langkah itu adalah lebih berkonsepkan latihan yang menggunakan teknologi terkini bagi membolehkan seseorang atlet itu mencapai prestasi terbaik sama seperti apabila mereka bersaing dalam kejohanan sebenar.
“Bagi pihak MPM kami ingin menyarankan untuk latihan diteruskan walaupun tiada kejohanan utama pada tahun depan bagi atlet pelapis negara. Cuma diharapkan MSN dapat memberi lebih penekanan kepada latihan mental, emotional intelligence (kecerdasan emosi) dan psikologi atlet.
“KBS dan MSN juga perlu melihat untuk menerapkan latihan atlet secara digital dalam memodenkan konsep latihan supaya atlet Para khususnya lebih arif kepada latihan berteknologi dan Artificial Intelligence.
“Kita tidak boleh membiarkan tempoh setahun ini disia-siakan. Lebih baik kita mencari jalan untuk membangunkan konsep latihan yang lebih mesra dengan situasi masa kini. Mungkin KBS perlu membuat pelaburan dan bekerjasama dengan syarikat teknologi di luar sana,” katanya.
Mengenai pembatalan dan penangguhan Sukma Johor, Megat mengakui MPM menyahut baik dan memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil kerajaan negeri Johor dan KBS untuk tidak meneruskannya.
“Langkah ini adalah yang terbaik demi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan atlet serta pegawai yang bertanding. Kita tidak tahu bila kesudahan pandemik Covid-19.
“Hampir 30,000 orang dijangka terlibat termasuk sukarelawan, pengurusan dan sebagainya dan kita tidak merisikokan nyawa lebih ramai orang di luar sana. Saya menganggap ini adalah langkah berani daripada kerajaan Johor dan saya menghormatinya," katanya.
Pada masa sama, Megat turut berterima kasih kepada pihak KBS terutamanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana telah melantik beliau selaku wakil MPM dalam Ahli Majlis Sukan Negara yang berkuat kuasa pada 9 November sehingga 30 April 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!