MU perlu 'lepaskan' Pogba
BEKAS pertahanan Liverpool Jamie Carragher menegaskan Manchester United perlu 'melepaskan' Paul Pogba yang disifatkannya sebagai pemain yang tidak berdisiplin.
Carragher berkata, biarpun pemain berkenaan pernah membantu Perancis muncul juara Piala Dunia pada edisi 2018 lalu, namun Pogba sebenarnya bukanlah seorang pemain yang hebat.
Malah menurut Carragher, pemain berusia 27 tahun itu dilihat bergelut untuk kekal konsisten dalam kesebelasan utama skuad The Red Devils itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini selain berdepan masalah kecederaan termasuk didapati positif Covid-19.
"Dia memiliki nama besar (dalam bola sepak) dan kedatangannya ke Old Trafford menerusi nilai perpindahan yang tinggi.
"Namun, saya tidak fikir dia seorang pemain yang hebat.
"Jika ditanya apakah saya 'memilih' dia menyertai pasukan (Manchester United)? Pastinya, tidak!" katanya.
Pogba ketika ini juga dilihat sudah tidak lagi diturunkan dalam kesebelasan utama United apabika hanya diturunkan selaku di pemain gantian ketika United tewas 1-2 kepada kelab Turki Istanbul Basaksehir dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Fatih Terim 5 November lalu termasuk ketika menewaskan Everton 3-1 di Goodison Park pada 7 November.
Sementara Carragher menyifatkan Pogba tidak boleh dibandingkan dengan pemain-pemain hebat seperti Steven Gerrard, Yaya Toure atau Frank Lampard.
"Kesemua pemain ini membantu pasukan masing-masing meraih kejayaan, memenangi piala di Eropah.
“Bagi saya, United mungkin bukan pasukan yang sesuai untuknya dan sudah tiba masanya untuk dia meneruskan kariernya di tempat lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!