Rezeki dari tong sampah
PASIR PUTEH - Kesempitan hidup memaksa ibu kepada 11 anak menyelongkar tong-tong sampah untuk mencari bahan terbuang yang boleh dijual semula.
Nor Azizah Isa, 46, berkata, sejak suaminya berada dalam tahanan pihak berkuasa beberapa tahun lalu, dia terpaksa bekerja keras bagi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan.
Menurutnya, setiap malam, dia akan keluar dengan motosikal untuk menyelongkar tong sampah.
“Kadang-kadang subuh baru balik, terpaksa sebab takut nanti anak-anak lapar.
“Besi buruk saya jual dengan harga 70 sen sekilo. Satu hari boleh dapat RM10 hingga RM12 sahaja sebab sekarang ni ramai orang buat kerja yang sama,” katanya.
Nor Azizah berkata, sembilan anaknya berusia 16 hingga 2 tahun tinggal bersamanya di Kampung Temila, manakala dua sudah berumahtangga.
Katanya, mujur ada bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat meringankan sedikit bebanannya.
Bagaimanapun, dia masih memerlukan bantuan khususnya untuk membaiki rumah asalnya yang sudah lama tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.
“Bila rumah sendiri tidak ada kemudahan, saya menyewa rumah RM80 sebulan. Itu pun dah tiga bulan tertunggak, nasib baik tuan rumah memahami masalah saya.
“Saya dah lama hidup susah sampaikan anak bongsu saya membesar dengan air sirap kerana saya tak mampu beli susu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!