Messi masih pemain terbaik
BIARPUN penyerang Barcelona Lionel Messi sekadar menjaringkan satu gol setakat ini, pengendali skuad The Catalan Ronald Koeman tetap menyifatkan bintang Argentina itu masih sebagai pemain yang terbaik.
Menurut Koeman, Messi masih diiktiraf sebagai pemain terbaik di dunia dan menjadikan Barcelona sebagai pasukan yang lebih baik ketika beraksi di Nou Camp.
“Bagi saya Barcelona akan sentiasa menjadi pasukan yang terbaik samada dengan Messi atau tanpa kehadirannya walaupun ketika saya tiba di Nou Camp ada yang mengatakan dia kurang gembira beraksi di sini.
“Bagaimanapun, dia (Messi) telah menunjukkan kepada saya bahawa dia seorang pemain yang komited dan tetap mahu memenangi piala dan terus menjadi pemain terbaik di sebalik beberapa masalah yang ada di kelab ini.
“Kami telah bercakap di rumahnya di mana dia menjelaskan segalanya dan secara jujur saya memberitahunya bahawa apa yang penting ketika ini adalah aksi yang dipamerkannya di atas padang kerana saya tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya,” katanya.
Biarpun aksi Messi dilihat agak 'tenggelam' ketika ini namun pemain itu tetap tersenarai di bangku simpanan bagi aksi berdepan Real Betis di Nou Camp Sabtu lalu yang menyaksikan Barca menang 5-2.
Sementara itu, Koeman juga menafikan khabar yang mengatakan Messi telah digugurkan daripada skuad Blaugrana itu.
Malah Koeman tetap menaruh harapan kepada bintang Argentina itu untuk terus menyinar bersama Barca.
"Dia hanya pemain biasa yang ada masalahnya sendiri, tetapi sejak kembali ke pangkuan pasukan dia telah beraksi dengan baik.
"Seperti orang lain dia juga adakalanya tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan hingga beraksi di bawah tahap sebenar.
"Namun saya yakin menjelang penghujung musim nanti, dia akan mula menjaringkan gol semula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!