Ramai letak jawatan selepas Trump pecat ketua pertahanan

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

WASHINGTON - Pentagon mengumumkan lebih ramai meletakkan jawatan pada Selasa, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menulis di Twitter mengenai pemecatan Setiausaha Pertahanan Mark Esper, lapor Agensi Anadolu.

"Hari ini, Pemangku Setiausaha Pertahanan untuk Dasar Dr. James Anderson, Ketua Setiausaha Pertahanan untuk Perisikan dan Keselamatan Joseph Kernan dan Ketua Turus kepada Setiausaha Pertahanan Jen Stewart menyerahkan surat peletakan jawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiganya mengumumkan pengunduran mereka berkuat kuasa serta-merta.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr. Anderson, Laksamana Kernan, dan Jen Stewart atas khidmat mereka kepada negara dan Jabatan," kata Pemangku Setiausaha Pertahanan Christopher Miller.

"Sepanjang karier mereka, masing-masing telah memberikan sumbangan besar kepada pertahanan negara dan masa depan Jabatan Pertahanan. Kami mendoakan yang terbaik dalam usaha mereka seterusnya," tambahnya.

Menurut kenyataan itu, Anthony Tata, Ezra Cohen-Watnick dan Kash Patel telah dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut.

Trump pada Isnin berkata, beliau telah "memecat" Esper dan menggantikannya dengan Miller, yang bertugas sebagai Pengarah Pusat Pencegahan Keganasan Nasional.

Miller, bekas pegawai Pasukan Khas Tentera Darat, kini menjadi orang kelima yang memimpin Jabatan Pertahanan selama hampir empat tahun pentadbiran Trump.

Artikel Berkaitan:

Keputusan Trump untuk menyingkirkan Esper dibuat hanya dua hari selepas beliau dikatakan kalah dalam persaingan Rumah Putih tahun ini dengan lawan dari Demokrat Joe Biden, yang kini terpilih sebagai presiden. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!