Orang ramai dilarang hampiri kawasan Gua Tekong

Mustapa (kanan) ketika meninjau kawasan Gua Tekong berhampiran Kampung Kubang Rusa, Lipis baru-baru ini.
Mustapa (kanan) ketika meninjau kawasan Gua Tekong berhampiran Kampung Kubang Rusa, Lipis baru-baru ini.
A
A
A

LIPIS - Orang ramai diminta tidak menghampiri kawasan Gua Tekong berhampiran Kampung Kubang Rusa di sini berikutan insiden runtuhan bongkah batu gua terbabit pada Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Menurutnya, kejadian tersebut tidak membabitkan sebarang kecederaan ataupun nyawa.

"Kawasan bukit berkenaan adalah tapak kuari yang telah lama ditinggalkan serta ditutup kepada orang ramai.

"Sebelum ini memang ada penduduk dari Kelantan yang mendirikan rumah berhampiran kawasan gua namun telah bertindak mengosongkan rumah terbabit," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, kawasan tersebut bukan lokasi pelancongan dan tiada penempatan dibina kerana penduduk setempat menyedari risikonya.

Sementara itu Ketua Kampung Kubang Rusa, Mohamad Razali Ismal berkata, bunyi runtuhan bongkah besar kira-kira jam 2 petang itu begitu kuat hingga boleh didengari dalam jarak dua kilometer di kampung itu yang didiami hampir 200 penduduk.

Menurutnya, buat masa ini runtuhan terbabit tidak lagi berlaku dan penduduk kampung mematuhi larangan yang ditetapkan agar tidak memasuki kawasan gua terbabit.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!