'Nak salam mak, tapi mak tak bangun'

Nur Shazana (kiri) menunjukkan gambar ibunya di dalam telefon bimbit kepada Husam yang menziarahi mereka di Kampung Bukit Kechik.
Nur Shazana (kiri) menunjukkan gambar ibunya di dalam telefon bimbit kepada Husam yang menziarahi mereka di Kampung Bukit Kechik.
A
A
A

MELOR - Tiga beradik yang ingin ke sekolah Khamis lalu tidak sempat bersalam dan mencium ibu mereka apabila wanita itu meninggal dunia ketika tidur di ruang tamu rumahnya, di Kampung Bukit Kechik, di sini.

Anak keduanya, Nur Shazana Akila, 20, berkata, adik keempatnya, Nur Anis Najwa Suid, 11, mengejutkan ibu mereka,

Siti Khalija Abdullah, 42, untuk bersalam sebelum ke sekolah jam 6.30 pagi.

“Masa tu adik nak keluar ke sekolah dan dia kejutkan mak untuk bersalam, tetapi mak tak bangun. Adik terus panggil saya dalam bilik.

"Saya keluar pegang tangan dan kaki mak sejuk. Saya pegang perut mak tak ada tindak balas. Saya takut nak letak tangan di hidung mak untuk pastikan dia bernafas atau tak kerana saya takut nak terima hakikat mak dah tiada.

“Sebelum tu ayah kata dia sedar jam 4 pagi nampak mak dalam keadaan terlentang dan ayah suruh mak betulkan kedudukan tidurnya. Lepas tu ayah pergi mandi dan tak perasan mak dah tak bernafas,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pengerusi PH Kelantan, Datuk Husam Musa bersama guru Sekolah Kebangsaan Melor di rumahnya, dekat sini.

Nur Shazana berkata, ibunya sebelum ini menghidap penyakit tiroid dan jangkitan kuman dalam paru-paru.

Katanya, beberapa hari sebelum itu, ibunya membeli barangan dapur lebih daripada biasa.

Artikel Berkaitan:

“Malam tu pun ayah kata mak cium pipi dia sebelum tidur. Mak ada cakap tangannya ketar tapi saya ingatkan ia biasa sahaja.

"Malam tu juga mak ajak saya bersembang, tapi saya kata tak larat, nak tidur awal sebab letih seharian keluar mencari kerja,” katanya.

Menurut Nur Shazana, adik bongsunya sudah dua hari tidak hadir ke sekolah kerana masih teringatkan ibu mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!