Biden, geopolitik Islam dan Asia

A
A
A

KEPUTUSAN terkini pilihan raya Amerika Syarikat (AS) menyaksikan calon Demokrat, Joe Biden telah mengalahkan bekas Presiden, Donald Trump. Terdapat beberapa dasar kritikal yang telah dilaksanakan pentadbiran Trump sebelum ini yang perlu disemak semula dengan segera oleh Biden.

Namun, terdapat juga beberapa dasar Trump yang perlu dikekalkan demi memastikan kestabilan dan kewujudan orde dunia atas prinsip keadilan, kedaulatan serta keharmonian.

Langkah utama yang perlu dilaksanakan Biden, antaranya menghentikan retorik dan dasar anti-Islam yang digemakan secara implisit di bawah pentadbiran AS sebelum ini. Beliau perlu membatalkan sekatan ekonomi ke atas negara Islam seperti Turki, Palestin, Iran, industri sawit Malaysia dan Indonesia serta menghapuskan sekatan perjalanan yang menyasarkan negara-negara Islam, kononnya atas rasional memerangi ‘pengganas’.

Dasar khusus pentadbiran Trump sebelum ini yang menikam hati seluruh umat Islam adalah pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Zionis Israel. Langkah itu bukan sahaja bertentangan dengan hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, bahkan ia juga mencabul Resolusi PBB sendiri di pentas antarabangsa.

Sebagai bukti iltizam politik beliau, maka wajar sekali Biden menarik balik pengiktirafan tersebut dan seterusnya memindah keluar Kedutaan AS dari Baitulmaqdis.

Biden juga wajib menghentikan segera Pelan Deal of the Century pro-Zionis yang dipelopori Trump dan menantunya sebelum ini yang cuba mengubah peta Asia Barat menurut kepentingan haram rejim Zionis Israel.

Peta dan kedaulatan Palestin wajib dihormati, langkah ‘merasuah’ negara-negara Arab melalui pelaburan dan pembekalan persenjataan untuk menormalisasi hubungan dengan Zionis Israel perlu dihentikan.

Autoriti Palestin wajib dilibatkan dalam sebarang proses pembuatan keputusan, tiada yang patut diketepikan termasuk Hamas dan Jihad Islam yang turut mewakili suara demokratik rakyat Palestin dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Artikel Berkaitan:

Demokrasi

Saat ini seluruh dunia turut dilanda kebimbangan bahawa pentadbiran Demokrat yang baharu akan mengembalikan semula dasar campur tangan Liberal secara aktif (Liberal interventionist policy) atas nama demi demokrasi seperti dinyatakan sarjana antarabangsa seperti John J Mearsheimer dan Stephen Walt.

Antara yang menjadi perhatian adalah di Syria, Libya, Iran, Iraq, Afghanistan, Lubnan, Venezuela, Hong Kong, Korea Utara dan di negara-negara lain yang tidak memiliki pentadbiran yang selari dengan kepentingan AS.

Namun, terdapat beberapa dasar pentadbiran Trump sebelum ini yang perlu diteruskan Biden demi menjamin kedaulatan negara-negara kecil dan hak asasi manusia di rejim tertentu. Paling kritikal adalah tekanan berterusan ke atas China supaya memelihara hak asasi manusia umat Islam Uighur di Turkestan Timur (Xinjiang).

Laporan agensi pemantau antarabangsa mengesahkan wujudnya penindasan buruh paksa dan penghapusan identiti umat Islam Uighur di China, selain pemisahan daripada keluarga dan penahanan berjuta umat Islam di sana.

Hal yang sama turut kritikal dalam kes umat Islam Kashmir di bawah rejim nasionalis Hindu Narendra Modi yang menghapuskan autonomi Kashmir dan dalam kes umat Islam Rohingya di Myanmar yang disahkan menjadi mangsa penghapusan etnik di bawah rejim junta tentera.

Pentadbiran Biden juga perlu mengekalkan dasar Trump di Laut China Selatan dan Indo-Pasifik. Jika di Laut China Selatan, Trump melaksanakan Freedom of Navigation Operations (FONOPs) dengan lebih agresif, di Indo-Pasifik pula dasar Free and Open Indo-Pacific (FOIP) turut dipesatkan melibatkan kerjasama strategik dan latihan bersama Tentera Laut AS dengan Jepun, Australia, India serta negara-negara Asia Tenggara yang sering menjadi mangsa pencerobohan berterusan kapal-kapal tentera dan pengawal pantai China.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!