Hampir 300 paderi dituduh salah laku seksual
AUSTIN - AMERIKA SYARIKAT. Pemimpin Roman Katolik di Texas pada Khamis mengenal pasti kira-kira 300 paderi yang dituduh melakukan penderaan seksual ke atas kanak-kanak.
Ia adalah pendedahan terbesar oleh gereja berkenaan selepas berdepan siasatan pihak berkuasa kerana didakwa tidak telus dalam mengendalikan tuduhan seumpama itu selama beberapa dekad.
Nama kesemua paderi terbabit telah didedahkan di atas talian.
Pendedahan kepada umum itu dibuat menyusul laporan juri di Pennsylvania pada Ogos lalu yang memperincikan salah laku mereka selama tujuh dekad.
Tahun lalu, pendakwa raya negara bahagian Barat tengah Amerika Syarikat mendedahkan hampir 700 paderi dan ketua agama Kristian Katolik di Illinois didakwa melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.
Angka tersebut adalah lebih tinggi berbanding jumlah yang telah didedahkan oleh pihak gereja Katolik di negara itu sebelum ini.
Ketua Peguam Illinois, Lisa Madigan berkata jumlah 185 terlibat dengan penderaan kanak-kanak yang didedahkan pihak gereja dilihat kurang tepat berbanding yang direkodkan pihaknya.
Keputusan awal dalam hasil siasatan yang bermula sejak Ogos mendapati lebih daripada 685 paderi dan ketua agama di beberapa daerah Barat tengah dituduh terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!