Mesin judi berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga

Razali (kanan) melihat antara mesin pertaruhan perjudian yang disediakan di premis yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan malam tadi.
Razali (kanan) melihat antara mesin pertaruhan perjudian yang disediakan di premis yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan malam tadi.
A
A
A

SERDANG - Tindakan pemilik lesen pusat hiburan keluarga yang menawarkan aktiviti mesin judi di sebuah pusat membeli-belah di Seri Kembangan di sini terbongkar selepas diserbu polis malam tadi.

Serbuan yang berakhir pada 12.30 tengah malam mendapati kegiatan tersebut sudah tiga bulan beroperasi di tingkat bawah pusat membeli-belah itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, operasi menahan 23 kaki judi berusia lingkungan 16 hingga 63 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati 60 mesin hiburan keluarga yang mempunyai lesen sah diletakkan di bahagian hadapan premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa namun kegiatan perjudian dilakukan di bahagian belakang premis.

"Antara perjudian yang dilakukan ialah pertaruhan dengan meneka perlumbaan antara binatang secara animasi di mesin judi sebelum mengumpul kad khas untuk ditukarkan dengan wang tunai.

"Pemain akan membeli token dengan nilai RM2 setiap satu untuk bertaruh dalam perlumbaan tersebut dan mampu menjana keuntungan RM30 hingga RM250 mengikut warna kad yang dikumpulkan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan malam tadi.

Beliau berkata, selain itu, kaki judi juga akan menghabiskan masa yang lama untuk melakukan pertaruhan susulan keuntungan yang diperoleh mampu mencecah RM1,000 sehari dengan modal kurang RM100.

Tambahnya, dua penjaga warga Bangladesh dan Indonesia masing-masing dibayar gaji RM1,600 untuk menguruskan aktiviti di premis tersebut turut ditahan untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kita bertindak merampas 14 mesin judi haram yang dianggarkan bernilai hampir RM500,000 serta wang tunai RM1,710 yang dipercayai hasil kegiatan haram itu," katanya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!