Fama lancar jualan jimat belanja Tahun Baharu Cina
KOTA BHARU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) buat julung kali melancarkan Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina bermula 31 Januari sehingga 4 Februari ini.
Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, program jualan jimat itu diadakan di 748 Pasar Tani di seluruh negara itu untuk memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barang keperluan pada harga yang berpatutan.
“Selain barangan segar seperti daging, ayam, dan sayur-sayuran pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan keperluan lain pada harga yang menjimatkan iaitu antara lima hingga 20 peratus bagi barangan terpilih berbanding harga pasar awam,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina di Medan Warisan Makanan, Dataran Bandaraya Kota Bharu.
Turut hadir Pengarah Fama negeri, Mohd Ariffin Awang.
Hisyamuddin berkata, jualan khas ini akan mula beroperasi seminggu sebelum sambutan perayaan Tahun Baharu Cina melibatkan 378 pasar tani di seluruh negara termasuk 74 di negeri ini.
“Program ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam menangani kenaikan harga barangan pasaran terutama menjelang musim perayaan,”katanya.
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Fama juga memberi jaminan kepada pengguna bahawa harga barang keperluan di pasar-pasar tani khas adalah berpatutan serta kompetitif walaupun di musim perayaan,katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd Ariffin berkata, Medan Warisan Makanan Kelantan di Dataran Bandaraya disini menjadi tarikan baharu pelancongan dengan menyediakan pelbagai makanan tradisi tempatan.
“Selain menjadi tarikan pengunjung ia juga secara tidak langsung dapat menjana peniaga yang berniaga di sini dengan 40 gerai disediakan,”katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!