Pelajar maut terkena renjatan elektrik
BESUT - Seorang pelajar Tingkatan Satu maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menangkap ikan di parit Kampung Batang Gergaji Apal, Jerteh di sini petang semalam.
Datuk mangsa, Ab Rahman Sulong, 62, berkata, cucunya, Muhammad Azan Firdaus Mansor, 13, ada memberitahu mahu menangkap ikan di parit di belakang rumah kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, pada mulanya dia juga mahu bersama cucunya tetapi ditinggalkan ketika sedang bersiap.
"Kira-kira 15 minit kemudian, saya pergi ke kawasan parit itu tetapi sebaik tiba saya terdengar jeritan beberapa kali memanggil 'ayah' sebelum bergegas mendapatkan Muhammad Azan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini yang turut menjelaskan kesemua 14 cucu memanggilnya dengan panggilan 'ayah'.
Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia ternampak cucunya itu tersandar di tebing parit dan tersangkut pada pagar kawat berhampiran dalam keadaan tercungap-cungap.
"Ketika itu saya nampak generator sedang dipasang dan segera bertindak mencabut plag bagi menghentikan arus elekrik tersebut.
"Saya terus menghubungi salah seorang anak yang bekerja di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut untuk mendapatkan bantuan.
"Saya nampak dia sudah tidak bernafas lagi sebelum menghubungi Klinik Kesihatan Jabi dan mereka mengesahkan Muhammad Azan sudah meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian daripada datuk mangsa.
Katanya, sejurus menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Jerteh ke lokasi untuk siasatan lanjut.
"Pemeriksaan tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan kepada mangsa. Datuk mangsa memaklumkan mangsa pernah menangkap ikan berseorangan.
"Mayat dihantar ke Hospital Besut dan bedah siasat mendapati punca kematian akibat renjatan elektrik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!