Bebas sedia sokong Belanjawan 2021 tetapi bersyarat: Dr Mahathir

Dr Mahathir pada sidang media di Parlimen hari ini.
Dr Mahathir pada sidang media di Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Blok bebas bersedia memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 secara bersyarat, kata Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, syaratnya tertakluk kepada cadangan- cadangan yang akan memberi manfaat dalam memulihkan ekonomi negara.

"Saya tidak sebut syarat-syarat tertentu tapi saya hendak dengar cadangan-cadangan (sepanjang sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pada masa ini pihaknya masih belum membuat ketetapan secara rasmi sama ada ingin menyokong belanjawan berjumlah RM322.5 bilion itu atau sebaliknya.

"Kita belum sampai ke penghujung perbahasan. Saya yakin ada cadangan-cadangan bernas, yang mungkin boleh dimasukkan dalam belanjawan ini. Kalau cadangan-cadangan (memberi manfaat kepada pemulihan ekonomi) ini diterima (oleh kerajaan) dan jadi sebahagian daripada belanjawan, maka kita boleh sokong.

"Tapi dengan keadaan sekarang ini kita belum yakin belanjawan ini boleh membantu dalam usaha kita memulihkan ekonomi terutamanya," kata beliau.

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau bersetuju terhadap cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank, Dr Mahathir berkata, dirinya tidak mendengar perbahasan kedua-dua pemimpin tersebut.

"Saya tidak dengar ucapan mereka," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!