KPDNHEP ambil tindakan terhadap 591 kes
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengambil tindakan terhadap 591 kes membabitkan pelbagai kesalahan.
Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri, Normaswari Nordin berkata, kes tersebut membabitkan nilai rampasan berjumlah RM883,338.95 selepas pemeriksaan ke atas 37,101 premis perniagaan.
Menurutnya, antara kesalahan yang kerap dilakukan dilakukan melibatkan penandaan harga barangan jualan dan penggunaan alat timbangan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.
"Nilai kompaun pula ialah RM64,400 membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 dan Akta timbang Sukat (ATS) 1972," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, KPDNHEP yang menempatkan penguat kuasa di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai turut melaksanakan skim harga maksimum sebagai langkah menyekat kenaikan harga barang keperluan menjelang Deepavali.
"Terdapat 20 barangan yang disenaraikan antaranya ayam; daging, telur, Kacang panjang, Cili Kering, Kelapa biji, Kelapa parut, Bawang merah kecil (India), Bawang merah besar import, Ubi kentang import (China), Kacang dal (Australia) dan sebagainya.
"Skim akan berlangsung selama lima hari bermula 9 hingga 17 November ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya.
Normaswari berkata, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan kepada peniaga, jika gagal mematuhi skim harga musim perayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!