Murid pendidikan khas reka produk simen fero
KUANTAN – Kreativiti murid-murid Pendidikan Khas Intergrasi Sekolah Kebangsaan Kampung Belukar di sini, tidak dapat dipertikaikan lagi kerana berjaya menghasilkan produk simen fero yang mendapat tempat di hati pelanggan.
Guru yang juga Penyelaras Projek Simen Fero, Farhana Dina Hussin berkata, sejak dimulakan sekitar Mac tahun lepas, projek itu telah menjana keuntungan jualan RM700, bagi produk hiasan berupa cendawan, ladybird dan lolipop.
“Para pelanggan terdiri daripada guru-guru dan ibu bapa yang membuat tempahan. Pada awalnya, ia dibuat bagi subjek kemahiran hidup dan untuk tujuan landskap kelas serta persekitaran sekolah.
“Tapi selepas ia dilihat cantik oleh guru-guru dan ibu bapa serta PIBG, projek ini telah menerima tempahan dan mula menghasilkan lebih banyak produk berkualiti untuk jualan,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut, semalam.
Farhana berkata, pembelajaran di dalam kelas ada kalanya membuatkan anak-anak pendidikan khas berasa bosan dan tidak fokus.
Oleh sebab itu katanya, guru-guru menganjurkan program seperti ini untuk melatih kemahiran mereka, secara tidak langsung mereka mengasah komunikasi dan dapat bekerjasama dalam kumpulan.
Menurutnya, produk simen fero tersebut dijual mengikut saiz bermula RM25 dan RM35 bagi hiasan cendawan tiga kuntum dan lolipop manakala RM5 dan RM10 bagi hiasan ladybird.
Menurutnya cat yang digunakan berkualiti tinggi dan agak mahal bagi disesuaikan untuk perhiasan di luar rumah.
Guru Pendidikan Khas, Abdul Salam Md Yusof berkata, aktiviti tersebut dibuat di bawah subjek Kemahiran Hidup untuk anak-anak pendidikan khas.
“Ia diadakan dua hari dalam seminggu dan setiap sesi memperuntukkan selama sejam sahaja. Alhamdulillah keuntungan yang dijana, dipulangkan kembali kepada anak-anak murid dengan cara meraikan mereka di dalam majlis, kos projek dan selebihnya dimasukkan ke tabung PIBG.
“Projek ini mendidik murid-murid untuk memanfaatkan barangan terpakai seperti paip PVC dan tempurung. Pada masa sama, mereka mendapat ilmu yang baharu dan siapa tahu ia boleh menjadi idea untuk menceburi perniagaan berasaskan produk simen fero suatu masa nanti,” katanya.
Menurutnya setakat ini seramai 18 murid OKU masalah pembelajaran berusia lingkungan lapan ke 14 tahun, belajar di sekolah tersebut.
Bagi Muhammad Aiman Norismakamal, 11, beliau amat gembira mempelajari subjek tersebut kerana ia mudah dan menyeronokkan.
“Saya seronok sebab dapat warna lolipop, cendawan dan ladybird. Dapat buat bersama kawan-kawan. Tak susah pun. Cuma bancuh simen dengan air dan pasir, lepas tu buat bentuk,” katanya.
Murid hasilkan produk simen fero
Posted by Sinar Harian Edisi Pahang on Friday, February 1, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!