Pesawah simpan burung ruak-ruak ditahan
SELAMA - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menahan seorang pesawah kerana menyimpan 23 ekor burung ruak-ruak di sebuah premis di Tanjung Piandang, Parit Buntar Selasa lalu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah bagi menyimpan hidupan liar tersebut.
Beliau berkata, tangkapan dibuat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (2010) Akta 716 iaitu menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhilitan.
"Hasil pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa di premis tersebut turut menemui beberapa spesis hidupan liar lain iaitu dua ekor burung belibis dan tiga ekor burung ayam.
"Kesemua 28 ekor burung daripada tiga spesis tersebut telah dirampas bersama 27 sangkar," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Selama di sini hari ini.
Yusoff berkata, kesemua burung yang ditemui dipercayai untuk simpanan suspek sebagai hobi dan harga pasaran bagi burung ruak-ruak dianggarkan RM10 hingga RM20 seekor.
Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian untuk soal siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama manakala burung yang dirampas dilepaskan ke habitat asal.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana kesalahan menyimpan hidupan yang dilindungi tanpa lesen yang membawa hukuman denda tidak melebihi 50,000 bagi setiap ekor atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Bagi Seksyen 68 (1)(a) akta yang sama kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam pada itu, Yusoff berkata, sehingga kini pihaknya menerima empat kes berkaitan kesalahan menyimpan hidupan liar dan pemburuan haram di negeri ini.
Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menyimpan hidupan liar sebagai hobi supaya mendapatkan lesen daripada Jabatan Perhilitan bagi mengelak tindakan undang-undang diambil.
Katanya, kejayaan tangkapan tersebut juga hasil maklumat berterusan orang ramai dan sebarang maklumat berkaitan jenayah hidupan liar boleh terus disalurkan melalui emel perak@wildlife.gov.my atau nombor telefon 019-2064854.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!