Ubi ara, ada pantang larangnya...

 Atipah menunjukkan ubi ara.
Atipah menunjukkan ubi ara.
A
A
A

JITRA - Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa ubi ara pernah menjadi makanan ruji untuk menggantikan nasi pada zaman darurat dahulu.

Ubi ara adalah sejenis ubi eksotik yang tumbuh meliar dalam hutan dan tidak dimakan oleh binatang kerana beracun.

Bagaimanapun, racun berkenaan boleh dicuci dan ubi ini pernah menjadi salah satu sumber karbohidrat suatu ketika dahulu.

Penduduk Kampung Budaya Bayas Baru di sini, Ahmad Man, 84, berkata, cara penyediaan ubi ara yang salah dan melanggar pantang boleh menyebabkan si pemakan merasa pening.

“Ada orang makan dengan nyok (kelapa) yang digaul bersama gula dan garam dan ada juga yang makan dengan lauk.

“Tapi cara nak sediakan tu mesti kena ikut betul-betul, sebab boleh beri kesan kepada orang yang makan tu,” katanya.

Ubi ara yang siap untuk dimakan.
Ubi ara yang siap untuk dimakan.

Bagi Atipah Md Diah, 49, dia mula mengenali makanan berkenaan sejak dibangku sekolah lagi kerana sering dimasak ibunya.

Artikel Berkaitan:

“Bila dah berkeluarga, saya dah mahir untuk memproses dan memasak ubi ini dengan mengikut pantang larang yang diajar oleh keluarga saya,” katanya.

Menurutnya, proses penyediaannya agak rumit dan memakan masa hampir seminggu memandangkan terpaksa mengikut pantang larangnya.

“Antaranya, ubi ini tak boleh dibiarkan terkena air hujan dan tak boleh dibasuh, jika tidak orang yang makan ubi ini akan mabuk. Jadi untuk mencuci segala kotoran dan racun berkenaan, pada mulanya kita akan rendam ubi berkenaan dalam garam bersama daun asam keriang selama tiga hari tiga malam.

“Kemudiannya, ubi itu akan dibawa ke anak sungai bukit yang mengalir untuk dialirkan bagi proses membuang getah dan kotoran selama beberapa hari. Selepas itu, kita akan simpan di dalam guni selama dua malam sehingga ia bertukar menjadi masam. Akhir sekali, kita kukus ubi berkenaan dan ia boleh dihidangkan mengikut citarasa masing-masing,” katanya.

Ubi ara perlu dialirkan di sungai untuk menghilangkan racun.
Ubi ara perlu dialirkan di sungai untuk menghilangkan racun.

Atipah berkata, ubi ini hanya boleh didapati pada musim kemarau dan dijual pada harga RM30 sekilogram.

“Penduduk sekitar kampung ini memang tahu saya selalu buat ubi ini, selalunya mereka beli yang dah siap diproses, jadi balik dah boleh makan.

“Cuma sekarang ini saya nak perkenalkan semula makanan ini kepada pengunjung luar selepas projek Kampung Budaya di sini siap kelak,” katanya.

Menurutnya, makanan tradisi ini perlu dipertahankan agar generasi akan datang masih tahu akan keenakan ubi ara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!