Geng Pidot curi kabel tumpas
SELAMA - Geng Pidot yang terlibat mencuri kabel di tiga daerah di Perak tumpas selepas tertangkapnya ketua kumpulan itu pada 26 Oktober lalu di Mahang, Kedah.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, kumpulan yang terdiri daripada lima lelaki itu dipercayai melakukan jenayah tersebut sejak lebih setahun lalu di Selama, Kerian dan Taiping dengan menyasarkan kabel milik Telekom Malaysia.
Menurutnya, hasil risikan pihak polis selama dua minggu berjaya memberkas dua suspek di Sungai Kob dan Mahang di Kedah manakala seorang suspek yang merupakan pembeli kabel tersebut ditangkap di Butterworth, Pulau Pinang.
"Hasil soal siasat, dua suspek mengaku terlibat dalam 10 kes kecurian kabel di Selama, Perak dan beberapa kes di kawasan sekitar Kerian bersama dua lagi suspek yang masih bebas.
"Kabel-kabel yang dicuri ini akan dibawa ke dalam sebuah kebun sawit di Sedim, Kedah untuk dibakar sebelum dijual di kedai besi buruk di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama, di sini hari ini.
Mohd Sabri berkata, suspek melakukan tinjauan pada siang hari sebelum melakukan kegiatan tersebut sekitar jam 2 hingga 5 pagi menggunakan sebuah kereta curi dengan nombor pendaftaran palsu.
Menurutnya, berdasarkan rekod, suspek utama yang juga ketua kumpulan tersebut pernah dipenjarakan sebelum ini atas kesalahan sama dan baru selesai menjalani hukuman pada tahun lalu.
Beliau berkata, hasil tangkapan tiga suspek itu juga membawa kepada rampasan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam yang dicuri di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Katanya, selain itu, beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel tersebut turut dirampas iaitu besi pembuka lubang utama, pemotong besi, kuku kambing, gergaji besi dan penukul besi.
Jelas Mohd Sabri, pihaknya turut merampas tiga gulung kabel yang belum dibakar serta lima guni plastik berisi kabel tembaga yang telah dibakar.
"Hasil tangkapan ketiga-tiga suspek ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 10 kes sekali gus melumpuhkan kegiatan kecurian kabel di Selama yang mana kesemua laporan kecurian tersebut dibuat dalam tempoh satu hingga tiga minggu.
"Anggaran nilai rampasan ini sebanyak RM13,000 manakala kesemua suspek sedang direman di IPD Kerian dan pihak polis kini sedang giat mengesan baki suspek," katanya.
Menurut Mohd Sabri, ujian air kencing mendapati hanya ketua kumpulan tersebut positif dadah jenis syabu manakala dua lagi suspek negatif.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan sebelum dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!