Punca utama krisis Rakhine perlu ditangani: Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba (kiri), Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba (kiri), Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Punca sebenar krisis di Rakhine, Myanmar harus ditangani memandangkan kesan yang dicetuskannya, melibatkan pelarian domestik (IDP), pergerakan tidak teratur dan kemasukan mereka ke negara-negara jiran bagi mencari perlindungan, dengan Malaysia menjadi negara penerima utama di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri, dalam sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 hari ini, berkata krisis di Rakhine memerlukan perbincangan mendalam di antara negara anggota ASEAN.

"Kami secara konsisten mengesyorkan untuk penyelesaian jangka panjang terhadap nasib malang yang menimpa Rohingya, yang semakin terdedah kepada eksploitasi.

"Malaysia menegaskan perlunya pembahagian beban dan tanggungjawab yang sama rata, dan meminta negara-negara yang menandatangani Konvensyen 1951 untuk menegakkan dan tetap komited terhadap kewajiban undang-undang antarabangsa mereka untuk menerima lebih banyak pelarian bagi penempatan semula," katanya.

Muhyiddin berkata, Malaysia menyokong proses pemulangan, yang secara sukarela, selamat dan bermaruah, pelarian domestik dari wilayah Rakhine.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia di sidang kemuncak dwitahunan itu dari sini (Kuala Lumpur), yang berlangsung hari ini hingga Ahad.

Sidang kemuncak itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN 2020.

Muhyiddin berkata masalah pergerakan orang yang tidak teratur, termasuk kaitannya dengan penyeludupan dan pemerdagangan manusia di rantau ini, memerlukan semua pihak yang berkaitan untuk mengenal pasti dan menangani punca-puncanya dan faktor penyumbang lain, sama ada di tempat asal, semasa transit atau lokasi tujuan serta penglibatan pihak berkepentingan yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"(Ini perlu dilakukan) berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama serta pendekatan seimbang antara penguatkuasaan undang-undang dan tindak balas kemanusiaan untuk menangani cabaran tersebut," katanya.

Turut serta dalam delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 adalah Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

ASEAN, yang ditubuhkan pada 1967, dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!