Kadar pengangguran menurun sejak Mei
SHAH ALAM - Kadar pengangguran pada September lalu terus menurun kepada 4.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada Ogos.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kadar itu menunjukkan trend penurunan yang konsisten sejak daripada 5.3 peratus pada Mei lalu.
Menurutnya, ia melambangkan pengukuhan daya tahan pasaran pekerjaan negara dan usaha tersebut masih perlu diteruskan berikutan situasi kini amat tidak menentu.
“Alhamdulillah, usaha kerajaan untuk menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) telah terus menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi Laporan Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-28 dalam siaran langsung di Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Belanjawan 2021 merupakan kesinambungan usaha kerajaan dengan tiga matlamat untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
Menurutnya, pelbagai inisiatif diberikan untuk golongan B40 tanpa meminggirkan M40.
“Kesemua inisiatif untuk golongan M40 perlu dilihat dengan menyeluruh.
“Secara ringkasnya, usaha kerajaan untuk golongan M40 adalah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, mengekalkan pekerjaan serta membantu melonjakkan pendapatan sama ada
melalui peningkatan kemahiran ataupun memudah cara bidang keusahawanan.
“Pakej Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Kita Prihatin dan kini Belanjawan 2021 adalah bukti kerajaan tidak akan berkompromi dalam melindungi rakyat.
“Mengambil kira ketidaktentuan Covid-19, kerajaan sentiasa memantau dan bersedia untuk bertindak sewajarnya jika ada keperluan. Yakinlah, kerajaan ini adalah kerajaan yang prihatin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!