Pengusaha bas tunggu masa 'gulung tikar'

Mohd Shahril menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kuala Terengganu hari ini bagi menuntut campur tangan dan ihsan kerajaan bagi menyelesaikan masalah dihadapi pengusaha bas.
Mohd Shahril menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kuala Terengganu hari ini bagi menuntut campur tangan dan ihsan kerajaan bagi menyelesaikan masalah dihadapi pengusaha bas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Lebih 30 pengusaha bas persiaran di Terengganu mendakwa mereka hampir gulung tikar dan hanya menunggu masa untuk bas ditarik berikutan tidak lagi mampu membayar balik pinjaman melalui syarikat kredit sejak lapan bulan lalu.

Pengusaha Iholidays Sdn Bhd, Mohd Shahril Zulkifle berkata, kebanyakan pengusaha bas terpaksa menanggung kerugian besar setelah 90 peratus punca pendapatan mereka merosot sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

“Sejak pelaksanaan PKP, kami pengusaha bas tak dapat menjana pendapatan, sekali gus tidak mampu untuk bayar ansuran bulanan pinjaman sebanyak RM11,000 bagi setiap sebuah bas. Bayangkan jika seorang pengusaha memiliki lima buah bas berapa banyak yang perlu ditanggung.

“Ada yang hampir muflis kerana wang simpanan telah habis dibelanjakan untuk menampung keperluan keluarga. Ada juga yang hampir gadai tanah dan barangan kemas semata-mata untuk meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Terdahulu, sekumpulan pengusaha bas persiaran Terengganu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini hari ini.

Mereka membuat laporan polis kerana mendakwa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib sektor pelancongan serta tiada sebarang peruntukan menerusi Belanjawan 2021 bagi membela nasib mereka.

KAMAL
KAMAL

Sementara itu, Pengusaha Norma Travel & Tours Sdn Bhd, Kamal Ariffin berkata, seramai 1,000 pengusaha termasuk pekerja bas persiaran di Terengganu terjejas sejak sektor itu tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah tidak dapat beroperasi sejak 18 Mac 2020 ketika bermula PKP. Sejak itu, ramai pengusaha tidak dapat membayar gaji pekerja dan terpaksa meminta pekerja-pekerja mereka melakukan kerja sendiri seperti berniaga atau mencari peluang pekerjaan lain.

“Kami buntu. Wang simpanan pun sudah habis. Notis penarikan bas juga telah diterima. Kami hanya tunggu masa bas kena tarik dan kami amat berharap ihsan kerajaan untuk membantu kami yang telah hilang hampir sepenuhnya punca pendapatan,” katanya.

MOHD AZLI
MOHD AZLI

Pengusaha Sri Bumi Holidays Sdn Bhd, Mohd Azli Omar pula berkata, laporan polis dibuat menerusi Ahli Sekretariat Gabungan Bas Terengganu hari ini kerana mendapati kerajaan tidak prihatin terhadap nasib mereka.

“Kami terpaksa buat laporan polis kerana hanya ini jalan untuk memohon ihsan kerajaan Persekutuan bagi membantu pengusaha bas persiaran yang hilang punca pendapatan sejak penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengusaha bas telah menghantar beberapa surat menuntut campurtangan kerajaan supaya syarikat kredit dapat memberi tempoh pengecualian bayaran balik pinjaman berjadual kepada pengusaha bas yang terjejas.

“Kami tidak berpuas hati dan terkilan kerana sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kementerian. Lebih mendukacitakan berlaku pula penularan semula Covid-19 berikutan tindakan kerajaan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.

“Ia telah menyebabkan berlaku gelombang ketiga Covid-19 yang terus melumpuhkan pendapatan kami,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha Mubimo Group Sdn Bhd, Muhaiddin Mohd meminta kerajaan mengkaji semula Belanjawan 2021 yang dilihat tidak membela nasib sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Bajet 2021 tidak membantu industri bas persiaran. Pengecualian cukai pembelian bas baharu yang ditawarkan kerajaan langsung tidak dapat membantu kami buat masa ini. Bayangkan bas sedia ada pun kami tidak mampu bayar.

“Justeru kami mohon kerajaan mengkaji semula belanjawan berkenaan, sekali gus membantu kami meneruskan mata pencarian dalam sektor ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!