Malaysia sedia terima vaksin Covid-19 dari China: PM
KUALA LUMPUR - Malaysia amat menghargai komitmen China mengutamakan negara ini sebagai penerima dan kini sedia menerima vaksin koronavirus (Covid-19) yang sudah berjaya dibangunkan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Sidang Kemuncak ASEAN-China hari ini berkata, Malaysia percaya penyelidikan dan pembangunan vaksin itu masih menjadi keutamaan Malaysia.
“Kami berterima kasih terhadap sumbangan dan sokongan China terhadap inisiatif darurat kesihatan awam ASEAN. Kami berharap ujian klinikal terhadap vaksin itu dapat segera dilaksana dan menghargai ikrar Presiden Xi Jinping untuk menjadikan pelalian itu sebagai barangan awam global," katanya.
Menerusi sidang secara maya itu, Muhyiddin menegaskan meskipun Covid-19 dianggap sebagai krisis kesihatan umum, ia menjejaskan gaya hidup moden masyarakat, meruntuhkan ekonomi dan memusnahkan jalinan sosial komuniti ASEAN.
"Oleh itu, dalam melaksanakan pemulihan, kita turut perlu menangani isu sosial dan ekonomi.
"Sehubungan itu ASEAN dan China mesti meneruskan rundingan dan kerjasama di semua peringkat dan pada masa sama meneroka peluang baharu yang lebih praktikal, dalam perjuangan kita untuk melakukan pemulihan komprehensif," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 bermula hari ini sehingga Ahad dan dipengerusikan oleh Vietnam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!