Johor benarkan solat Jumaat, fardu sepanjang PKPB
JOHOR BAHRU - Pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau di Johor dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok hingga 6 Disember ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosri Jarvanthi berkata, peraturan tersebut turut terpakai di semua zon yang diklasifikasi sama ada merah, kuning atau hijau.
"Solat Jumaat dan solat fardu berjemaah lima waktu di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagaimanapun adalah tidak dibenarkan.
"Kebenaran untuk menunaikan solat di masjid dan surau negeri ini sepanjang tempoh PKPB adalah terhad kepada satu pertiga kapasiti masjid dan surau sedia ada. Kali ini kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas dibenarkan solat Jumaat.
"Ini bermakna, prosedur operasi standard (SOP) berkenaan seperti penjarakkan fizikal sedia ada ketika ini akan diteruskan bagi terus menghidupkan syiar Islam di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki Samsudin.
Kerajaan baru-baru ini memaklumkan penguatkuasaan PKPB dilaksana di semua negeri di semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember ini dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.
Tosrin berkata, urusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk turut dibenarkan namun perlu dilaksana di Pejabat Kadi Daerah sahaja sepanjang tempoh PKPB.
"Kursus pra perkahwinan di negeri ini hendaklah dibuat secara dalam talian sahaja dan kursus secara bersemuka adalah ditangguhkan," ujarnya.
Sementara itu, Tosrin berkata, pengurusan dan pengebumian jenazah serta ziarah tanah perkuburan turut dibenarkan namun tertakluk kepada SOP ditetapkan.
"Antaranya termasuk jika kematian melibatkan individu dalam tempoh kuarantin 14 hari, jenazah perlu dibawa ke hospital untuk diuruskan mengikut cara ditetapkan pihak hospital.
"Pelaksanaan pengurusan jenazah di masjid dan surau pula hendaklah tidak melebihi lima orang termasuk waris dan kariah, sementara urusan pengebumian dibenarkan dihadiri seramai 50 orang bagi zon hijau dan kuning, manakala 20 orang bagi zon merah," katanya.
Tambahnya, urusan ziarah ke tanah perkuburan pula dihadkan dalam tempoh kira-kira 15 minit sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!