Calon wanita, parti Islam hilang kerusi di Parlimen Jordan

Hanya 29.9 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Parlimen pada Selasa lalu. - Foto Agensi
Hanya 29.9 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Parlimen pada Selasa lalu. - Foto Agensi
A
A
A

AMMAN - Sebahagian calon wanita dan parti Islam hilang kerusi pada Pilihan Raya Parlimen Jordan yang berlangsung pada minggu ini, menurut keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Pemilihan untuk 130 kerusi Parlimen termasuk 15 yang diperuntukkan untuk wanita kurang mendapat sambutan berikutan jumlah rakyat keluar mengundi yang rendah berikutan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) masih tinggi.

Hanya 29.9 peratus daripada kira-kira 4.5 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih 1,674 calon termasuk 360 wanita pada Selasa lalu.

Pada 2016, jumlah rakyat yang keluar mengundi adalah kira-kira 36 peratus.

Pengerusi suruhanjaya itu, Khaled al-Kalaldeh berkata, keputusan itu menunjukkan hanya 15 calon wanita dipilih berbanding 20 orang sebelum ini.

"Kira-kira 100 pendatang baharu termasuk 20 pegawai kanan bersara tentera akan menyertai Parlimen yang dikuasai ahli perniagaan dan wakil puak paling berpengaruh.

"Sementara itu, Parti Barisan Tindakan Islam yang merupakan sayap politik gerakan Ikhwanul Muslimin dan merupakan pakatan pembangkang terbesar pula hanya meraih lapan kerusi bersamaan separuh kerusi berbanding sebelum ini," ujarnya.

Difahamkan, Parlimen tidak mempunyai kuasa yang meluas berikutan sebarang keputusan diputuskan oleh dekri raja. - AFP

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!