6G bukti China kuasa besar

A
A
A

Belum reda isu rangkaian komunikasi mudah alih kelima (5G ) yang mendominasi tajuk berita di Britain, benua Eropah dan Amerika Syarikat (AS), China sudah pun melancar satelit pengujian komunikasi generasi keenam (6G).

China mahu membuktikan kepada dunia pada 6 November lalu betapa ia kuasa besar komunikasi dengan pelancaran 6G dari Pusat Pelancaran Satelit Taiyuan (TSLC) di wilayah Shanxi, utara China.

Terkenal dengan penelitian feng shuinya, China sengaja memilih tanggal 6 November untuk melancar satelit 6G dalam orbit ruang angkasa bagi menguji kemampuan teknologi tersebut bersama 12 satelit lain.

Teknologi 6G membolehkan data dan maklumat tanpa ruang di angkasa yang turut berkemampuan memantau bencana tanaman serta mencegah kebakaran hutan sebagaimana dilaporkan Pusat Televisyen China (CCTV).

Penulis tertanya-tanya apakah sebenarnya motif China melancarkan teknologi komunikasi 6G, sedangkan isu 5G masih membelenggu kebanyakan negara di dunia termasuk Britain, benua Eropah dan Amerika.

Laporan menyebut kerja pembangunan dan penyelidikan 6G itu hasil kerjasama seramai 37 jurutera tiga buah pusat penyelidikan ternama China.

Ia mengejutkan banyak pihak kerana mereka berjaya mengatasi beberapa isu teknikal sebelum dikomersialkan sepenuhnya bersama pelancaran Teleskop Radio Sfera Aperture berjarak 500 meter pada Januari 2021 oleh Observatiorium Astronomi Nasional China (CNAO).

Difahamkan, beberapa syarikat gergasi telekomunikasi China turut memulakan penyelidikan 6G sejak awal tahun 2018. Gelombang Terahertz 6G adalah sinaran frekuensi tinggi yang membolehkan data disalur pada kecepatan 50 gigabit sesaat.

Teknologi komunikasi itu sebenarnya dibangunkan berlandaskan pengajaran yang disampaikan Rasulullah SAW secara bijaksana melalui perkataan ‘Qaulan-Baliqhan’ dalam al-Quran. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 63 bermaksud: “Mereka itu ialah orang-orang yang ALLAH mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu daripada mereka dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.”

Artikel Berkaitan:

Rasullullah menyebut perkataan ‘Qaulan-Maysuran’ dalam surah al-Isra’ ayat 28 itu tersirat maksud perkataan seperti ringan, padat dan pantas.

Oleh itu, sistem komunikasi 6G mampu memberi liputan data raya yang membolehkan pelanggan berkomunikasi antara satu sama lain di mana sahaja dengan kadar kelajuan tinggi seperti jalur lebar yang sangat besar (THz gelombang) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) merangkumi aspek operasi serta persekitaran serta perkhidmatan rangkaian.

Penulis berasakan 6G boleh merealisasikan kejayaan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) kerana kelajuannya sangat drastik daripada 5G, sekali gus membentuk semula evolusi tanpa wayar daripada terma ‘perkara yang disambung’ kepada ‘kecerdasan yang disambung.’

Secara khusus, 6G melangkau internet mudah alih dan diperlukan untuk menyokong perkhidmatan AI. Pada dasarnya, AI akan menjadi pendorong dalam merancang dan mengoptimumkan arkitektur seni bina komunikasi, protokol serta operasi 6G.

Jurutera komunikasi di Malaysia harus mengkaji perkembangan 6G dan kesan kepentingannya kepada IR 4.0, seterusnya berusaha menggabungkan penyelesaian kepada isu dan cabaran yang akan berlaku. Sumbangan utama cadangan itu melibatkan perkembangan IR4.0 dalam konteks perkhidmatan utama dan penyelesaian kesukaran kepada pelanggan utama.

Senario itu akan membuka cakrawala baharu untuk gugusan industri baharu pada masa hadapan dengan menyediakan beberapa cabang gugusan kepakaran yang dapat menyokong usaha merealisasi aplikasi komunikasi 6G.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!