Barcelona gagal potong gaji pemain
KELAB gergasi Sepanyol, Barcelona gagal mencapai persetujuan untuk memotong gaji pemain dan staf pasukan tersebut selepas satu perbincangan yang berlangsung kelmarin.
Menurut kenyataan dikeluarkan kelab berkenaan, perbincangan yang diadakan dengan wakil pemain dan pekerja kelab berkenaan menemui jalan buntu dan kini terpulang kepada pihak pengurusan memikirkan cara sesuai menangani perkara tersebut.
"Setelah beberapa hari pertemuan, pihak-pihak yang terlibat telah menamatkan perbincangan tanpa mencapai persetujuan yang konkrit.
“Kami berada dalam situasi di mana pihak pengurusan harus membuat keputusan yang akan membantu meringankan masalah kewangan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.
"Dari segi kewangan, kelab ini menghadapi kerugian pendapatan berjumlah €300 juta (RM1.45 bilion) untuk musim 2020-21 sahaja. Oleh itu, pelarasan gaji sebanyak €191 juta (RM927 juta) mesti dibuat," kata kenyataan itu.
Justeru, sebagai langkah terakhir, semua pihak diberikan tempoh sehingga 23 November ini sama ada mahu bersetuju dengan perancangan pemotongan gaji tersebut.
"Proses rundingan menunjukkan keinginan semua pihak untuk memahami situasi yang berlaku, termasuk proses penggantian gaji yang harus ditangguhkan dalam waktu ini.
"Semua pihak telah sepakat untuk memberi satu sama lain sehingga 23 November untuk memutuskan sama ada menerima atau tidak cadangan pemotongan gaji tersebut," kata kenyataan itu lagi.
Difahamkan, Barcelona mahu memotong sebanyak 30 peratus semua gaji pemain dan staf bagi memastikan kelab kembali stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!