'Mahu beli-belah di Genting Highlands alasan rentas negeri'

Polis hanya akan membenarkan orang awam merentas negeri sekiranya mempunyai alasan yang kukuh.
Polis hanya akan membenarkan orang awam merentas negeri sekiranya mempunyai alasan yang kukuh.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menolak pelbagai permohonan rentas negeri tidak masuk akal antaranya mahu beli-belah di Genting Highlands baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, itu antara alasan yang dikemukakan daripada 15,190 permohonan yang ditolak oleh pihaknya.

“Bukan kita tidak benarkan orang ramai rentas negeri tetapi nak beli-belah di Genting Highlands, agak tidak munasabah. Ikutlah arahan kerajaan, duduk rumah kalau tidak ada urusan penting.

“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober lalu, sebanyak 229,907 permohonan untuk merentas negeri diterima dengan 214,717 diluluskan dan 15,190 ditolak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Tegas Noor Azam, polis hanya memberi kebenaran untuk rentas daerah atau negeri dengan alasan yang munasabah.

“Alasan lain seperti perlu menjalani rawatan di hospital, sakit, kematian, temu janji dengan pihak hospital, kerja sendiri yang tiada surat dari majikan akan kita semak jika benar-benar ada keperluannya,” katanya.

Pada 7 November lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan PKPB dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sidang khas MKN itu mengambil keputusan sedemikian sebagai tindakan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Dalam pada itu, Noor Azam mengingatkan orang ramai supaya memandang serius usaha kerajaan melaksanakan PKPB sehingga 6 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak dalam usaha mengekang wabak Covid-19 di negeri ini dan kita tidak mahu anda bawa wabak itu pulang ke kampung.

“PKPB dilaksanakan supaya virus terbabit tidak tersebar dari zon merah ke kawasan lain,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!